Monday 9 December 2013

Pertelingkahan Mengundang Sifat Cela Diri Insan


TUGASAN BLOG SYW 502

Pertelingkahan Mengundang Sifat Cela Diri Insan

Farah Farhana Bt Johari

Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)

PSM0046/12

 

Realitinya, manusia dilahirkan dengan berbagai-bagai sifat dalam diri. Ada yang mampu menahan sabar, ada juga yang senantiasa amarah memuncak. Bahkan dalam al-Quran ada menyebut dengan jelas tentang sifat-sifat  dalam diri manusia. Misalnya, firman Allah s.w.t yang bermaksud;

 

            “Dia telah mencipta manusia dari mani, tiba-tiba menjadi pembantah yang nyata”

                                                                                                                       

(an-Nahl, 16:4)

 
Selain mempunyai sifat suka berbantah-bantah, manusia juga lahir dengan sifat lain seperti lemah, tergesa-gesa, cepat putus asa, keluh kesah, tidak tahu berterima kasih dan berhasad dengki. Ekoran itu, fenomena yang berlaku sejak akhir-akhir ini boleh diklasifikasi sebagai sifat yang nyata dalam diri manusia iaitu amarah. Ironinya, sifat amarah yang tidak dapat dibendung mampu mencetuskan pertelingkahan antara satu sama lain. Dalam hal ini juga didapati sifat marah yang mendominasi diri lahir dari perasaan dengki dan juga tidak tahu berterima kasih, sehingga membawa kepada perpecah belahan dalam kalangan masyarakat. 

 
Mutakhir ini, isu pertelingkahan dalam kalangan masyarakat tersebar meluas di dada-dada akhbar mahupun laman-laman sosial. Belum pun selesai satu kes, timbul pula kes yang baru. Hal ini dilihat bermula daripada luahan rasa tidak puas hati oleh seorang individu kepada individu lain. Pada mulanya, luahan rasa tidak puas hati ini dilakukan melalui laman sosial seperti facebook, twitter dan instagram. Kemudiannya, berlarutan sehingga ke luar dan mengundang kemarahan pihak yang lain. Sebagai akibatnya, perbuatan ini menimbulkan hura-hara, bukan sahaja antara dua pihak malah banyak pihak yang terlibat sama. Jika fenomena ini berterusan tanpa dibendung, pasti meninggalkan kesan negatif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan insan yang masih mengenal erti hidup iaitu generasi muda.

 
Perkara yang lebih buruk lagi, isu pertelingkahan ini bukan terjadi dalam kalangan remaja mahupun kanak-kanak, tetapi kalangan dewasa. Misalnya, baru-baru ini negara digemparkan dengan pergaduhan antara seorang wanita dengan seorang pengawal keselamatan sehingga melibatkan saman menyaman. Tambah menyedihkan lagi, apabila didapati pengawal keselamatan tersebut merupakan seorang yang lebih tua dan berpendapatan rendah. Sekalipun, kebenaran berpihak kepada wanita terbabit, tidak adakah sifat bertolak ansur dalam diri insan ini? Dan kemanakah hilangnya sifat kasih sayang dan hormat menghormati terhadap golongan yang lebih tua? Hal ini sedikit sebanyak memperlihat sifat yang tercela kepada generasi pewaris masa hadapan. Dikhuatiri juga menjadi ikutan kepada golongan ini.

 
Senario yang berlaku pada masa kini juga berterusan kepada pertelingkahan akibat dendam. Akibat terlalu sukar mengawal emosi, hilang sifat sabar dalam diri. Padahnya, timbul pergaduhan yang tiada kesudahan. Kisah yang berlaku baru-baru ini dan mendapat liputan meluas, telah memaparkan pergaduhan yang berpunca daripada wang ringgit semata-mata. Disebabkan tidak dapat memiliki sejumlah wang yang sepatutnya menjadi miliknya, manusia sanggup bermasam muka dan sindir menyindir antara satu sama lain. Tidakkah mereka sedar akan hal yang dikejar hanyalah dunia semata? Ekoran isu ini, memperlihat kepada generasi muda akan tauladan yang tidak baik sama sekali. Jika ini berterusan, bagaimanakah untuk kita mendidik dan membangunkan insan generasi masa hadapan?

 
Dalam membincangkan hal ini, dirasakan masyarakat perlu memandang serius, agar insan generasi masa hadapan tidak dibelenggu sifat amarah, seterusnya membawa kepada pergaduhan yang akhirnya memutuskan silaturrahim. Malah, dalam Islam sendiri menuntut persaudaraan sesama Islam. Hal ini dititikbertkan dalam setiap muamalah harian umat Islam seluruh dunia. Sesungguhnya, Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa dengan sahabat seIslamnya yang lain disebabkan pergaduhan yang berkaitan dunia lebih daripada tiga hari. Seperti sabda nabi s.a.w;

 
“Dan tidak halal bagi seorang muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari tiga hari”.

 

(Riwayat Al-Bukhari, 5/2253)

 

Perkara yang ingin dikupas dalam perbincangan ini juga, ialah punca berlakunya pergaduhan. Pergaduhan berpunca daripada jiwa manusia yang terdedah dengan sifat-sifat tercela. Hal ini turut menjadi penyebab utama terhalangnya jiwa manusia untuk mendapat cahaya petunjuk daripada Allah s.w.t. Sejajar dengan itu, tindakan yang harus dilakukan adalah dengan menghapuskan sifat mazmumah, kemudian menerapkan pula sifat mahmudah dalam diri seseorang insan. Sifat mazmumah yang harus dikikis seperti sifat amarah, dengki, kedekut, sombong dan menunjuk-nunjuk. Manakala sifat mahmudah yang perlu ada dalam diri pula adalah taubat, ingat mati, kasih sayang, hormat menghormati, hati zuhud, tawakal dan redha dengan ketentuan. Justeru, sifat-sifat mahmudah inilah harus ada dalam diri seorang insan yang bergelar hamba Allah s.w.t. Namun, andai sifat mazmumah yang tertanam dalam diri manusia, maka akan terhalanglah seseorang itu untuk melihat sesuatu kebenaran sehingga lahir tindakan yang bercanggah dengan nilai mulia dan tuntutan agama. Sepertimana yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini, iaitu hilang sifat hormat menghormati kepada yang lebih tua.

 
Selain itu, bagi mencapai matlamat melahirkan manusia yang seimbang, maka aspek yang harus menjadi fokusnya adalah jasmani, akal dan rohnya. Usaha merealisasikan aspek ini pula boleh dilakukan dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan. Hal ini kerana al-Quran sememangnya wasiat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai panduan untuk orang-orang mukmin. Daripada Abu Hurairah r.a, daripada nabi s.a.w bersabda;

           

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabinya”

 

Justeru, dalam mendidik insan, lebih-lebih lagi diperingkat akar umbi al-Quran boleh dijadikan panduan hidup. Al-Quran juga boleh menjadi senjata paling berkesan dalam mengetuk hati-hati manusia. Ibu bapa misalnya boleh mengumandangkan ayat al-Quran di dalam rumah. Guru di sekolah pula boleh memulakan kelas dengan memetik ayat-ayat tertentu daripada al-Quran yang mempunyai perkaitan dengan pengajaran. Manakala, para pensyarah juga boleh menjadikan ayat al-Quran sebagai permulaan pengajaran. Bukti keberkesanan al-Quran dalam melenturkan hati manusia boleh diteladani berdasarkan kisah Saidina Umar Al-Khattab  yang memeluk Islam selepas mendengar bacaan al-Quran oleh adik perempuannya Fatimah. Dengan bacaan ayat al-Quran tersebut hati Saidina Umar tergugat, rohnya diproses oleh ayat-ayat itu, sehingga Allah mencampakkan hidayah ke dalam hatinya. Sehubungan dengan itu, didapati bahawa manusia yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah lebih membantu menjadi lebih terdidik hatinya dan berakhlak.

 
Keseluruhannya, dalam mendidik hati sendiri mahupun insan sekeliling disarankan agar meningkatkan kesabaran dalam hati. Benar, bukan mudah untuk mengawal rasa marah dalam diri, apatah lagi untuk bersabar ketika sedang berselisih pendapat. Namun, untuk mengahadapi situasi seperti ini sememangnya sabar dan bertakwa kepada Allah adalah cara yang terbaik. Jika sifat sabar dapat dikawal maka tidak akan terserlah sifat tercela dalam diri. Sesungguhnya, ketakwaan kepada Allah s.w.t juga menuntut kita agar menjadi sabar sepanjang masa. Sifat sabar dalam menghadapi kesusahan dan kecekalan menghadapi masalah sememangnya dituntut dalam Islam. Hakikatnya, masalah dan cabaran merupakan asam garam dalam kehidupan manusia.  

 

 

Tuesday 20 November 2012

Filem-Filem Tahyul dan Khurafat


TUGASAN BLOG SIW 505

 FILEM-FILEM TAHYUL DAN KHURAFAT

 FARAH FARHANA BT JOHARI

CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

PSM0046/12

 

Pada masa kini saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada. Namun bentuk-bentuk hiburan sebegini telah mengundang kealpaan dalam diri manusia yang terlalu mengejar hal duniawi. Tidak salah seandainya mahu berhibur namun, seseorang itu tidak boleh terlalu leka. Berbincang mengenai hiburan, isu yang ingin diketengahkan di sini adalah mengenai fenomena kebangkitan filem yang kebanyakannya merosakkan akidah umat Islam. Industri hiburan tanah air kini semakin hari semakin berkembang dengan penghasilan pelbagai bentuk filem atau drama tidak kira sama ada berunsur komedi, romantik, aksi mahu pun seram. Hal ini merupakan suatu fenomena yang positif bagi penggiat seni perfileman terutamanya yang menghasilkan filem berbentuk seram. Justeru filem berunsur seram kini mendapat perhatian ramai penonton. Keadaan ini dibuktikan apabila setiap kali tayangan filem berunsur seram ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia, kutipan jualan tiket mendapat sambutan hangat berbanding filem bercorak kerohanian. Situasi ini telah menyebabkan semakin ramai pengarah filem tempatan mengambil peluang ini untuk menghasilkan filem-filem berunsur hantu dan seram.

Seiring dengan kebangkitan filem-filem berunsur hantu dan seram ini telah mendapat perhatian ramai pihak. Ada di antaranya yang memuji dan menyokong lambakan filem ini dan tidak ketinggalan juga yang mengkritiknya. Kebanyakan yang mengkritiknya adalah disebabkan terdapat unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran Islam.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu dan seram ini terdiri daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik.  Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.

Dalam hal ini, ketaksuban penonton terhadap hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian. Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau ditempat gelap, kanak-kanak pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu yang mengekori. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani segera. Kajian dilakukan berkaitan kesan dan pengaruh filem hantu terhadap penonton menyenaraikan kesan antaranya tidak nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem ngeri, perasaan takut hingga hilang daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia melihat benda dikait dengan filem ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan, binatang, bunyi atau keadaan yang terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut berpanjangan (Berita Harian, 2011).

Secara keseluruhannya, menurut perspektif Islam perkara ini sangat bertentangan sama sekali. Kepercayaan seseorang Islam seharusnya berlandaskan kepada tasawwur Islam iaitu percaya bahawa Allah s.w.t adalah pencipta dan manusia serta alam sekitar merupakan makhluk bukan mempercayai amalan-amalan syirik dan tahyul. Justeru kepercayaan ini harus lahir daripada sumber epistemologi Islam yang mana menjadikan al-Quran, hadis ijmak dan qiyas ulamak sebagai sumber rujukan utama. Berhubung dengan perkara yang dibincangkan, setiap penghasilan filem terutamanya bagi penghasil filem Islam haruslah menjadikan al-Quran dan hadis terutamanya sebagai sumber rujukan.

Selain itu, penggiat seni perfileman juga harus menghasilkan dakwah dalam setiap filem mereka bukan mengajar masyarakat tentang perkara tahyul dan khurafat. Dalam Islam, drama dan filem adalah diharuskan bertujuan mendidik masyarakat serta membantu mengembangkan ajaran Islam dengan syarat tidak menampilkan watak tokoh seperti rasul, nabi dan khalifah kerana boleh menghilangkan kekudusan mereka. Tiada fenomena lucah dan percampuran jantina, kegiatan zina atau pendedahan aurat. Drama atau filem mesti berkepentingan kepada agama, ilmu pengetahuan, pendidikan, moral, individu, keluarga dan masyarakat (Berita Harian, 2011).

Merujuk kepada perkara yang melemahkan minda umat Islam terhadap filem seram ini juga sememangnya sangat membimbangkan. Misalnya menurut pendakwah bebas Ustaz Daud Che Ngah berkata, “Unsur seram dan ganas dalam filem menyebabkan orang ramai, khususnya kanak-kanak lebih takut kepada watak hantu daripada Allah dan ia tidak sewajarnya kerana melemahkan minda umat Islam’’. Namun, pandangan ini disanggah oleh Presiden Pengeluar Filem Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah melalui berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 11 Januari 2011. Beliau dilaporkan berkata “penerbit filem menerbitkankan filem yang memang genre ditetapkan adalah seram dan ia bukan filem mengenai kisah hidup ahli agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada penonton yang menonton filem berkenaan’’(Ruzain Syukur Mansor, 2011). Benarkah terdapat unsur moral seperti yang diperkatakan? Apabila dilihat terhadap watak ustaz yang diperkatakan itu, tidak langsung menggambarkan unsur-unsur nasihat kerana terdapat ayat-ayat al-Quran yang dibacakan bercampur dengan jampi serapah. Hal ini kononnya untuk menimbulkan unsur komedi disebalik penceritaan tanpa menyedari ia bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Hal ini mampu menjadi ikutan kepada para penonton terutamanya yang jahil tentang ilmu agama.

Dalam hal kanak-kanak yang menonton filem ini pula, telah menyebabkan timbul kekeliruan dalam diri mereka. Hal ini di antara mempercayai perkara ghaib dengan mempercayai kewujudan hantu dan syaitan. Keadaan mereka yang masih diperingkat belajar telah mencetuskan keaadaan sedemikian. Situasi ini juga ditakuti akan membawa kepada syirik yang melemahkan iman dalam diri seseorang. Menurut Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya, Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden berpendapat bahawa khurafat dan tahyul serta amalan yang tidak bersandarkan al-Quran dan sunnah adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Beliau menambah khurafat dan tahyul membawa seseorang itu kepada syirik (Malaysia Harmoni, 2011).

 

Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa sangat besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)

 

Oleh itu, dalam kita berseronok dalam hiburan duniawi, perlu beringat agar tidak terjerumus kepada perkara yang boleh merosakkan akidah sebagai seorang umat Islam. Hiburan sememangnya tidak salah dalam Islam tetapi tidak harus melanggar batas yang telah ditetapkan syariat. Penggiat seni perfileman tanah air perlu berhati-hati dalam menggarap skrip dalam setiap filem mereka agar tidak terpesong dari ajaran Islam. Bagi para penonton pula tidak seharusnya terlalu taksub dengan hantu yang hanya rekaan manusia semata-mata sedangkan kita harus lebih takut kepada azab Allah s.w.t. Ingatlah bahawa Allah s.w.t merupakan pencipta sekalian makhluk.

 

“Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia (surah Maryam, ayat 35).

 

 

 

Bibliografi

 

Filem Seram Beri Kesan Negatif Dalam Masyarakat,2011: diakses pada 18 oktober 2012 daripada http://www.islamituindah.my/filem-seram-beri-kesan-negatif-dalam-masyarakat.

 

Ruzain S. Mansor (2011), Unsur Sihir, Khurafat Dalam Filem Pengaruhi Minda Masyarakat: diakses pada 18 oktober 2012 daripada http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/ruzain-syukurmansor/1215-unsur-sihir-khurafat-dalam-filem-pengaruhi-minda-masyarakat.