TUGASAN
BLOG SIW 505
CALON
SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
PSM0046/12
Pada masa kini
saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan. Hal ini tidak kira
sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau
rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber
hiburan yang sedia ada. Namun bentuk-bentuk hiburan sebegini telah mengundang
kealpaan dalam diri manusia yang terlalu mengejar hal duniawi. Tidak salah seandainya
mahu berhibur namun, seseorang itu tidak boleh terlalu leka. Berbincang
mengenai hiburan, isu yang ingin diketengahkan di sini adalah mengenai fenomena
kebangkitan filem yang kebanyakannya merosakkan akidah umat Islam. Industri
hiburan tanah air kini semakin hari semakin berkembang dengan penghasilan
pelbagai bentuk filem atau drama tidak kira sama ada berunsur komedi, romantik,
aksi mahu pun seram. Hal ini merupakan suatu fenomena yang positif bagi penggiat
seni perfileman terutamanya yang menghasilkan filem berbentuk seram. Justeru
filem berunsur seram kini mendapat perhatian ramai penonton. Keadaan ini
dibuktikan apabila setiap kali tayangan filem berunsur seram ditayangkan di
pawagam-pawagam seluruh Malaysia, kutipan jualan tiket mendapat sambutan hangat
berbanding filem bercorak kerohanian. Situasi ini telah menyebabkan semakin
ramai pengarah filem tempatan mengambil peluang ini untuk menghasilkan
filem-filem berunsur hantu dan seram.
Seiring dengan
kebangkitan filem-filem berunsur hantu dan seram ini telah mendapat perhatian
ramai pihak. Ada di antaranya yang memuji dan menyokong lambakan filem ini dan
tidak ketinggalan juga yang mengkritiknya. Kebanyakan yang mengkritiknya adalah
disebabkan terdapat unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para
penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka
ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses
belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh
merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri
penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran
Islam.
Perkara ini
sangat membimbangkan kerana ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu
dan seram ini terdiri daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini
terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan
kanak-kanak sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah
generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan
terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai
jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada
penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu
rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan
daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan
tahyul, khurafat dan syirik. Kekuatan kepercayaan
terhadap hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan
terhadap Allah s.w.t.
Dalam hal ini,
ketaksuban penonton terhadap hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke
dalam kehidupan seharian. Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau
ditempat gelap, kanak-kanak pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu
yang mengekori. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu
ditangani segera. Kajian dilakukan berkaitan kesan
dan pengaruh filem hantu terhadap penonton menyenaraikan kesan antaranya tidak
nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem ngeri, perasaan takut hingga hilang
daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia melihat benda dikait dengan filem
ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan, binatang, bunyi atau keadaan yang
terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut berpanjangan (Berita Harian, 2011).
Secara
keseluruhannya, menurut perspektif Islam perkara ini sangat bertentangan sama
sekali. Kepercayaan seseorang Islam seharusnya berlandaskan kepada tasawwur Islam iaitu percaya bahawa
Allah s.w.t adalah pencipta dan manusia serta alam sekitar merupakan makhluk
bukan mempercayai amalan-amalan syirik dan tahyul. Justeru kepercayaan ini harus
lahir daripada sumber epistemologi Islam yang mana menjadikan al-Quran, hadis
ijmak dan qiyas ulamak sebagai sumber rujukan utama. Berhubung dengan perkara
yang dibincangkan, setiap penghasilan filem terutamanya bagi penghasil filem
Islam haruslah menjadikan al-Quran dan hadis terutamanya sebagai sumber
rujukan.
Selain itu,
penggiat seni perfileman juga harus menghasilkan dakwah dalam setiap filem
mereka bukan mengajar masyarakat tentang perkara tahyul dan khurafat. Dalam Islam, drama dan filem adalah diharuskan bertujuan
mendidik masyarakat serta membantu mengembangkan ajaran Islam dengan syarat
tidak menampilkan watak tokoh seperti rasul, nabi dan khalifah kerana boleh
menghilangkan kekudusan mereka. Tiada fenomena lucah dan percampuran jantina, kegiatan zina atau pendedahan
aurat. Drama atau filem mesti berkepentingan kepada agama, ilmu pengetahuan,
pendidikan, moral, individu, keluarga dan masyarakat (Berita Harian, 2011).
Merujuk
kepada perkara yang melemahkan minda umat Islam terhadap filem seram ini juga
sememangnya sangat membimbangkan. Misalnya menurut pendakwah bebas Ustaz Daud
Che Ngah berkata, “Unsur seram dan ganas dalam filem menyebabkan orang ramai,
khususnya kanak-kanak lebih takut kepada watak hantu daripada Allah dan ia
tidak sewajarnya kerana melemahkan minda umat Islam’’. Namun, pandangan ini
disanggah oleh Presiden Pengeluar Filem Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah
melalui berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 11 Januari 2011.
Beliau dilaporkan berkata “penerbit filem menerbitkankan filem yang memang
genre ditetapkan adalah seram dan ia bukan filem mengenai kisah hidup ahli
agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada
penonton yang menonton filem berkenaan’’(Ruzain Syukur Mansor, 2011). Benarkah
terdapat unsur moral seperti yang diperkatakan? Apabila dilihat terhadap watak
ustaz yang diperkatakan itu, tidak langsung menggambarkan unsur-unsur nasihat
kerana terdapat ayat-ayat al-Quran yang dibacakan bercampur dengan jampi
serapah. Hal ini kononnya untuk menimbulkan unsur komedi disebalik penceritaan
tanpa menyedari ia bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Hal ini mampu
menjadi ikutan kepada para penonton terutamanya yang jahil tentang ilmu agama.
Dalam
hal kanak-kanak yang menonton filem ini pula, telah menyebabkan timbul
kekeliruan dalam diri mereka. Hal ini di antara mempercayai perkara ghaib
dengan mempercayai kewujudan hantu dan syaitan. Keadaan mereka yang masih
diperingkat belajar telah mencetuskan keaadaan sedemikian. Situasi ini juga
ditakuti akan membawa kepada syirik yang melemahkan iman dalam diri seseorang. Menurut
Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya, Bahan
Berdakwah Untuk Remaja Moden berpendapat bahawa khurafat dan tahyul serta
amalan yang tidak bersandarkan al-Quran dan sunnah adalah sebahagian daripada
jahiliah yang sesat. Beliau menambah khurafat dan tahyul membawa seseorang itu
kepada syirik (Malaysia Harmoni, 2011).
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa
syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan
sesiapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa
sangat besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)
Oleh itu, dalam kita berseronok dalam hiburan duniawi,
perlu beringat agar tidak terjerumus kepada perkara yang boleh merosakkan
akidah sebagai seorang umat Islam. Hiburan sememangnya tidak salah dalam Islam
tetapi tidak harus melanggar batas yang telah ditetapkan syariat. Penggiat seni
perfileman tanah air perlu berhati-hati dalam menggarap skrip dalam setiap
filem mereka agar tidak terpesong dari ajaran Islam. Bagi para penonton pula
tidak seharusnya terlalu taksub dengan hantu yang hanya rekaan manusia
semata-mata sedangkan kita harus lebih takut kepada azab Allah s.w.t. Ingatlah
bahawa Allah s.w.t merupakan pencipta sekalian makhluk.
“Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu,
maka Dia hanya berkata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia (surah Maryam,
ayat 35).
Bibliografi
Filem Seram Beri Kesan Negatif Dalam Masyarakat,2011:
diakses pada 18 oktober 2012 daripada http://www.islamituindah.my/filem-seram-beri-kesan-negatif-dalam-masyarakat.
Ruzain S. Mansor (2011), Unsur Sihir, Khurafat Dalam
Filem Pengaruhi Minda Masyarakat: diakses pada 18 oktober 2012 daripada http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/ruzain-syukurmansor/1215-unsur-sihir-khurafat-dalam-filem-pengaruhi-minda-masyarakat.
No comments:
Post a Comment