TUGASAN
BLOG SYW 502
Pertelingkahan
Mengundang Sifat Cela Diri Insan
Farah
Farhana Bt Johari
Calon
Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
PSM0046/12
Realitinya, manusia dilahirkan dengan
berbagai-bagai sifat dalam diri. Ada yang mampu menahan sabar, ada juga yang
senantiasa amarah memuncak. Bahkan dalam al-Quran ada menyebut dengan jelas
tentang sifat-sifat dalam diri manusia.
Misalnya, firman Allah s.w.t yang bermaksud;
“Dia
telah mencipta manusia dari mani, tiba-tiba menjadi pembantah yang nyata”
(an-Nahl, 16:4)
Selain mempunyai sifat suka
berbantah-bantah, manusia juga lahir dengan sifat lain seperti lemah,
tergesa-gesa, cepat putus asa, keluh kesah, tidak tahu berterima kasih dan
berhasad dengki. Ekoran itu, fenomena yang berlaku sejak akhir-akhir ini boleh
diklasifikasi sebagai sifat yang nyata dalam diri manusia iaitu amarah. Ironinya,
sifat amarah yang tidak dapat dibendung mampu mencetuskan pertelingkahan antara
satu sama lain. Dalam hal ini juga didapati sifat marah yang mendominasi diri
lahir dari perasaan dengki dan juga tidak tahu berterima kasih, sehingga
membawa kepada perpecah belahan dalam kalangan masyarakat.
Mutakhir ini, isu pertelingkahan dalam
kalangan masyarakat tersebar meluas di dada-dada akhbar mahupun laman-laman
sosial. Belum pun selesai satu kes, timbul pula kes yang baru. Hal ini dilihat
bermula daripada luahan rasa tidak puas hati oleh seorang individu kepada
individu lain. Pada mulanya, luahan rasa tidak puas hati ini dilakukan melalui
laman sosial seperti facebook, twitter
dan instagram. Kemudiannya, berlarutan sehingga ke luar dan mengundang
kemarahan pihak yang lain. Sebagai akibatnya, perbuatan ini menimbulkan
hura-hara, bukan sahaja antara dua pihak malah banyak pihak yang terlibat sama.
Jika fenomena ini berterusan tanpa dibendung, pasti meninggalkan kesan negatif
dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan insan yang masih
mengenal erti hidup iaitu generasi muda.
Perkara yang lebih buruk lagi, isu
pertelingkahan ini bukan terjadi dalam kalangan remaja mahupun kanak-kanak,
tetapi kalangan dewasa. Misalnya, baru-baru ini negara digemparkan dengan
pergaduhan antara seorang wanita dengan seorang pengawal keselamatan sehingga
melibatkan saman menyaman. Tambah menyedihkan lagi, apabila didapati pengawal
keselamatan tersebut merupakan seorang yang lebih tua dan berpendapatan rendah.
Sekalipun, kebenaran berpihak kepada wanita terbabit, tidak adakah sifat
bertolak ansur dalam diri insan ini? Dan kemanakah hilangnya sifat kasih sayang
dan hormat menghormati terhadap golongan yang lebih tua? Hal ini sedikit
sebanyak memperlihat sifat yang tercela kepada generasi pewaris masa hadapan.
Dikhuatiri juga menjadi ikutan kepada golongan ini.
Senario yang berlaku pada masa kini juga
berterusan kepada pertelingkahan akibat dendam. Akibat terlalu sukar mengawal
emosi, hilang sifat sabar dalam diri. Padahnya, timbul pergaduhan yang tiada
kesudahan. Kisah yang berlaku baru-baru ini dan mendapat liputan meluas, telah memaparkan
pergaduhan yang berpunca daripada wang ringgit semata-mata. Disebabkan tidak dapat
memiliki sejumlah wang yang sepatutnya menjadi miliknya, manusia sanggup
bermasam muka dan sindir menyindir antara satu sama lain. Tidakkah mereka sedar
akan hal yang dikejar hanyalah dunia semata? Ekoran isu ini, memperlihat kepada
generasi muda akan tauladan yang tidak baik sama sekali. Jika ini berterusan,
bagaimanakah untuk kita mendidik dan membangunkan insan generasi masa hadapan?
Dalam membincangkan hal ini, dirasakan
masyarakat perlu memandang serius, agar insan generasi masa hadapan tidak
dibelenggu sifat amarah, seterusnya membawa kepada pergaduhan yang akhirnya
memutuskan silaturrahim. Malah, dalam Islam sendiri menuntut persaudaraan
sesama Islam. Hal ini dititikbertkan dalam setiap muamalah harian umat Islam
seluruh dunia. Sesungguhnya, Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa
dengan sahabat seIslamnya yang lain disebabkan pergaduhan yang berkaitan dunia
lebih daripada tiga hari. Seperti sabda nabi s.a.w;
“Dan tidak halal bagi seorang muslim itu
meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih
dari tiga hari”.
(Riwayat
Al-Bukhari, 5/2253)
Perkara yang ingin dikupas dalam
perbincangan ini juga, ialah punca berlakunya pergaduhan. Pergaduhan berpunca
daripada jiwa manusia yang terdedah dengan sifat-sifat tercela. Hal ini turut
menjadi penyebab utama terhalangnya jiwa manusia untuk mendapat cahaya petunjuk
daripada Allah s.w.t. Sejajar dengan itu, tindakan yang harus dilakukan adalah
dengan menghapuskan sifat mazmumah, kemudian menerapkan pula sifat mahmudah
dalam diri seseorang insan. Sifat mazmumah yang harus dikikis seperti sifat
amarah, dengki, kedekut, sombong dan menunjuk-nunjuk. Manakala sifat mahmudah
yang perlu ada dalam diri pula adalah taubat, ingat mati, kasih sayang, hormat
menghormati, hati zuhud, tawakal dan redha dengan ketentuan. Justeru,
sifat-sifat mahmudah inilah harus ada dalam diri seorang insan yang bergelar
hamba Allah s.w.t. Namun, andai sifat mazmumah yang tertanam dalam diri
manusia, maka akan terhalanglah seseorang itu untuk melihat sesuatu kebenaran
sehingga lahir tindakan yang bercanggah dengan nilai mulia dan tuntutan agama. Sepertimana
yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini, iaitu hilang sifat hormat
menghormati kepada yang lebih tua.
Selain itu, bagi mencapai matlamat
melahirkan manusia yang seimbang, maka aspek yang harus menjadi fokusnya adalah
jasmani, akal dan rohnya. Usaha merealisasikan aspek ini pula boleh dilakukan
dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan. Hal ini kerana al-Quran sememangnya
wasiat yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai panduan untuk
orang-orang mukmin. Daripada Abu Hurairah r.a, daripada nabi s.a.w bersabda;
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak
akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah dan
sunnah nabinya”
Justeru, dalam mendidik insan,
lebih-lebih lagi diperingkat akar umbi al-Quran boleh dijadikan panduan hidup.
Al-Quran juga boleh menjadi senjata paling berkesan dalam mengetuk hati-hati
manusia. Ibu bapa misalnya boleh mengumandangkan ayat al-Quran di dalam rumah. Guru
di sekolah pula boleh memulakan kelas dengan memetik ayat-ayat tertentu
daripada al-Quran yang mempunyai perkaitan dengan pengajaran. Manakala, para
pensyarah juga boleh menjadikan ayat al-Quran sebagai permulaan pengajaran.
Bukti keberkesanan al-Quran dalam melenturkan hati manusia boleh diteladani
berdasarkan kisah Saidina Umar Al-Khattab yang memeluk Islam selepas mendengar bacaan
al-Quran oleh adik perempuannya Fatimah. Dengan bacaan ayat al-Quran tersebut
hati Saidina Umar tergugat, rohnya diproses oleh ayat-ayat itu, sehingga Allah
mencampakkan hidayah ke dalam hatinya. Sehubungan dengan itu, didapati bahawa
manusia yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah lebih membantu menjadi
lebih terdidik hatinya dan berakhlak.
Keseluruhannya, dalam mendidik hati
sendiri mahupun insan sekeliling disarankan agar meningkatkan kesabaran dalam
hati. Benar, bukan mudah untuk mengawal rasa marah dalam diri, apatah lagi
untuk bersabar ketika sedang berselisih pendapat. Namun, untuk mengahadapi
situasi seperti ini sememangnya sabar dan bertakwa kepada Allah adalah cara
yang terbaik. Jika sifat sabar dapat dikawal maka tidak akan terserlah sifat
tercela dalam diri. Sesungguhnya, ketakwaan kepada Allah s.w.t juga menuntut
kita agar menjadi sabar sepanjang masa. Sifat sabar dalam menghadapi kesusahan
dan kecekalan menghadapi masalah sememangnya dituntut dalam Islam. Hakikatnya,
masalah dan cabaran merupakan asam garam dalam kehidupan manusia.
No comments:
Post a Comment